«

»

Jun 11

Anwar mohon dibekal dokumen, barang kes liwat

(Utusan Malaysia 11/06/2009)

KUALA LUMPUR 10 Jun – Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon supaya beliau dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya sekiranya pendakwa raya gagal mematuhi perintah supaya beliau dibekalkan dengan semua dokumen dan barangan berkaitan kes itu.
Di samping itu, beliau memohon supaya sebarang prosiding di Mahkamah Tinggi di sini ditangguhkan sementara menunggu permohonan mendapatkan dokumen tersebut selesai dan perintah-perintah berkenaan dipatuhi oleh pendakwa raya.
Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menyatakan demikian dalam permohonan beliau untuk dibekalkan dengan dokumen dan barangan berkaitan tuduhan meliwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 24, yang dihadapinya sebelum perbicaraan dijalankan.
Notis usul bagi permohonan itu difailkan melalui firma guaman Tetuan S.N. Niar & Partners di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah di sini hari ini.
Turut difailkan ialah afidavit sokongan yang diikrarkan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
Anwar, 62, didakwa meliwat Mohd. Saiful Bukhari di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun tahun lalu.
Perbicaraan kes liwat tersebut dijadualkan didengar oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah mulai 1 hingga 24 Julai ini.
Anwar antara lain memohon perintah agar pendakwa raya membekalkan keseluruhan kandungan pita rakaman litar tertutup (CCTV) di Kondominium Desa Damansara dan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) yang diambil daripada mangsa serta beberapa barang di kondominium tersebut sebelum perbicaraan berlangsung.
Beliau juga memohon dibekalkan nota-nota ahli kimia, kenyataan-kenyataan saksi di bawah Seksyen 112 Kanun Aturcara Jenayah, senarai saksi yang akan dipanggil dan nota semua doktor Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang merawat mangsa.
Turut dipohon ialah rakaman video percakapan Mohd. Saiful Bukhari dan laporan doktor Hospital Pusrawi yang memeriksa pemuda tersebut.
Permohonan itu dikemukakan dengan alasan beliau melalui peguam caranya telah membuat beberapa permohonan bertulis tetapi tiada jawapan positif, mencukupi dan memuaskan daripada pendakwa raya selaku responden.
Menurutnya lagi, dokumen-dokumen dan barangan tersebut adalah relevan dan mustahak bagi beliau menyediakan pembelaan dan sekiranya tidak dibekalkan, ia akan menyebabkan prejudis dalam kes beliau.
Di samping itu, beliau perlu mendapatkan pakarnya sendiri untuk memeriksa sampel-sampel DNA dan rakaman CCTV, menyediakan notis alibi yang sewajarnya dan sekiranya dokumen serta barangan tersebut tidak dibekalkan, ia akan melengahkan perbicaraan kes itu.
Sementara itu, peguam S. N. Nair ketika ditemui pemberita berkata, permohonan itu difailkan bukan bertujuan melengah-lengahkan perbicaraan kerana dokumen-dokumen itu telah diminta sejak September tahun lalu.
Ujarnya, setakat ini pihak pendakwa telah memberikan salinan gambar tempat kejadian dan gambar-gambar yang kononnya dipetik daripada rakaman CCTV serta salinan percakapan Anwar di bawah Seksyen 112 Kanun Aturcara Jenayah.
“Bagaimanapun, salinan gambar-gambar yang diberikan adalah kabur dan diambil daripada rakaman CCTV sedangkan apa yang kami mahu ialah keseluruhan rakaman CCTV tersebut,” katanya.


Huh huh huh, satu lagi permainan Anwar, dia tu siapa nak dibekalkan dengan maklumat berkaitan tuduhan liwatnya tu? Kamu tu plaintif, mana boleh sesuka hati mintak dibekalkan barang bukti yang sah-sah sulit oleh Polis.

Apa niat sebenar dia? Mungkin hendak memanipulasikan maklumat mengenai pertuduhannya itu kemudian memutar belitkan fakta dengan mengatakan maklumat tersebut palsu. Ha ha ha itulah kerja si Anwar, apa lagi nak mintak kes dia digugurkan. (maaf aku tak guna perkataan ‘beliau’ kat sini sebab dia tak layak)

Apapun kepada Anwar, kata pepatah berani kerana benar, takut kerana salah. Adakah hanya semata-mata tidak dibekalkan dengan maklumat pertuduhan ke atas dirinya, dia ingin kes tersebut digugurkan? Anwar, kamu bermimpi di siang hari lah. Bukankah kamu pemimpin Parti Keadilan Rakyat? Di mana keadilan yang kamu agung-agungkan itu?

Adakah keadilan untuk tembolok hawa nafsu dia sendiri tanpa memikirkan keadilan terhadap Saiful Bukhari? Apapun, kita semua dah tahu, Anwar dah terdesak, semakin terdesak. Dia akan gunakan bermacam-macam alasan untuk mengelak dari dikenakan tuduhan.
Sama-sama kita fikirkan dan renungkan.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Current day month ye@r *