Bahagian 1: Awas!! Bahaya Mazhab Khawarij!
Mengusik kehormatan dan kredibiliti pemerintah dengan cara memaki-hamun, mencela, menyebarkan aibnya, dan mengkritik mereka secara terbuka adalah satu bentuk kesalahan yang amat besar di sisi Islam. Bahkan ia termasuk benih-benih pemberontakkan terhadap pemerintah yang menjadi sebab rosaknya agama, tergugatnya keamanan, dan menghilangnya kemaslahatan dunia sekaligus.
Perbuatan mengecam dan memburuk-burukkan pemerintah adalah satu bentuk bid’ah yang sengaja diada-adakan dalam perlaksanaan amar ma’ruf nahi mungkar. Ia mula dicipta oleh seorang tokoh Yahudi bernama ‘Abdullah B. Saba’ yang berpura-pura memeluk Islam ketika zaman pemerintahan Khalifah ‘Utsman B. Affan radhiyallahu ‘anhu. Disebabkan fitnah yang direka dan disebarkan oleh ‘Abdullah B. Saba’ inilah akhirnya sejarah Islam menjadi kacau-bilau sehingga terbunuhnya ‘Utsman dan ‘Ali. Ideologi yang beliau cetuskan tersebut kemudiannya makin tersebar hingga meracuni dan memperdaya sebahagian kelompok umat Islam setelah itu yang mengakibatkan munculnya firqah-firqah sesat seperti Khawarij dan syi’ah, yang kemudiannya dari Khawarij lahirnya Murji’ah, Qadariyah, dan Muktazilah.
Lebih awal dari itu, pemikiran mencela pemimpin secara terbuka ini juga telah wujud sejak hayat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam lagi. Bahkan celaan tersebut diungkapkan terus kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tanpa segan-silu di hadapan umum. Orang yang mencela Rasulullah tersebut dikenali sebagai Dzul Khuwaishirah sebagaimana kata Imam Ibnul Jauzi. Beliau menuntut Rasulullah supaya berlaku adil dan bertaqwa kepada Allah kerana pada anggapannya Rasulullah telah berlaku khianat dalam suatu proses pembahagian harta ghanimah ketika itu.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pada ketika itu pun marah dengan celaannya lalu mengatakan:
وَمَنْ يَعْدِلُ إِذَا لَمْ أَعْدِلْ قَدْ خِبْتَ وَخَسِرْتَ إِنْ لَمْ أَكُنْ أَعْدِلُ
“Celakalah engkau, siapa lagi yang dapat berlaku adil jika aku dikatakan tidak adil? Benar-benar celaka dan rugi jika aku tidak dapat berlaku adil.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 11/442, no. 3341)
Kemudian orang tersebut pun berlalu pergi.
Dalam riwayat yang lain setelah orang ini pergi, Rasulullah pun bersabda (kepada para sahabatnya yang hadir ketika itu):
إِنَّ مِنْ ضِئْضِئِ هَذَا قَوْمًا يَقْرَءُونَ الْقُرْآنَ لَا يُجَاوِزُ حَنَاجِرَهُمْ يَمْرُقُونَ مِنْ الْإِسْلَامِ مُرُوقَ السَّهْمِ مِنْ الرَّمِيَّةِ يَقْتُلُونَ أَهْلَ الْإِسْلَامِ وَيَدَعُونَ أَهْلَ الْأَوْثَانِ لَئِنْ أَدْرَكْتُهُمْ لَأَقْتُلَنَّهُمْ قَتْلَ عَادٍ
“Sesungguhnya daripada orang ini akan muncul sekumpulan manusia yang hebat membaca al-Qur’an tetapi bacaannya tidak melepasi kerongkongan. Mereka terlepas dari batas-batas Islam sebagaimana anak panah menembusi sasarannya (buruannya). Mereka membunuh ahlul Islam dan membiarkan hidup ahlul Autsan (penyembah berhala). Jika aku sempat menemui mereka, nescaya akan aku perangi (bunuh) mereka sebagaimana dibunuhnya kaum ‘Aad.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 22/441, no. 6880)
Bersambung…














