«

»

May 19

Bahagian 5: Awas!! Bahaya Mazhab Khawarij!


Bahagian 5: Awas!! Bahaya Mazhab Khawarij!

Untuk melihat lebih lanjut berkaitan kecelaruan pemikiran khawarij moden ini, para pembaca boleh merujuk karya Syaikh ‘Abdul Malik Ramadhani al-Jaza’iri yang berjudul, Madarikun Nadzar fii as-Siyasah wa al-Ihfi’aalat al-Hamaasiyyah.

Dalam kitabnya tersebut Syaikh ‘Abdul Malik menukilkan sebahagian perkataan salaf yang menyatakan bahawa Khawarij adalah murji’ah dalam masa yang sama. Antara nukilan tersebut, “Murji’ah beranggapan tidak wajib mentaati pemerintah” sebagaimana disebutkan oleh Imam ash-Shabuni dalam Aqidatus Salaf Ashhabul Hadits. Kemudian kata Imam Ahmad, “Bahawasanya Khawarij itulah murji’ah.” Kemudian beliau menukilkan – Termasuk di dalam sikap dan karektor pemikiran murji’ah adalah mereka mendiamkan kesesatan ahli bid’ah dan tidak membongkarnya. Sebaliknya mereka mencela dan memperlekehkan pula orang yang mengajarkan sunnah dan tauhid. Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa murji’ah memiliki sikap bertoleransi dengan sesiapa sahaja sama ada dari kalangan ahli maksiat mahupun ahli bid’ah selagi mana bersama-sama kelompok mereka. Kenyataan ini beliau nukilkan daripada Majmu’ al-Fatawa oleh Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah (12/467) dan Badai’u at-Tafsir oleh Ibnul Qayyim.

Kemudian beliau menyebutkan dengan kata-kata yang tegas:

ولا يَختلف اثنان أن هذا من أعظم الأسس التي يرتكز عليها دين الحركية؛ وهل ثَمَّ أحدٌ يُنكر مقولتهم: (ليَعذر بعضنا بعضاً فيما اختلفنا فيه، ولنعمل فيما اتَّفقنا عليه!!)، وقد بيّنت ـ في هامش قريب ـ من كلام حسن البنا أنهم يَعنون الاختلاف بإطلاق! قالوا هذا؛ لأنهم لو أخذوا يُنكرون على أهل البدع لضيَّعوا أكثر متبوعيهم الذين يمدّونهم في الغيّ!

“Tidak ada yang menyanggah bahawa kaedah seperti ini adalah prinsip (atau asas) utama bagi sebuah dakwah dalam harakah (atau parti) politik. Adakah sesiapa yang mempertikaikan bahawa merekalah yang mengatakan, “Marilah kita saling bertoleransi dalam apa yang diperselisihkan, dan marilah kita bekerjasama dalam perkara yang kita sepakati.” Telah saya jelaskan pada nota kaki sebelumnya daripada perkataan Hasan al-Banna bahawa maksud mereka adalah merujuk segala bentuk perselisihan! Mereka sengaja mencanangkan kaedah tersebut kerana apabila mereka menyanggah ahli bid’ah, maka akan bertempiaran larilah para pengikut mereka yang selama ini membantu mereka dalam kesesatan!” (Madarikun Nadzar fii as-Siyasah, m/s. 257)

Demikianlah syubhat dan celarunya pemikiran kelompok sesat penentang pemerintah bermazhab khawarij. Atas sebab itulah disebutkan daripada sebuah hadis bahawa Khawarij adalah anjing-anjing neraka.

Ini antaranya sebagaimana dalam hadis berikut:

عَنْ سَعِيدُ بْنُ جُمْهَانَ قَالَ لَقِيتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ أَبِي أَوْفَى وَهُوَ مَحْجُوبُ الْبَصَرِ فَسَلَّمْتُ عَلَيْهِ قَالَ لِي مَنْ أَنْتَ فَقُلْتُ أَنَا سَعِيدُ بْنُ جُمْهَانَ قَالَ فَمَا فَعَلَ وَالِدُكَ قَالَ قُلْتُ قَتَلَتْهُ الْأَزَارِقَةُ قَالَ لَعَنَ اللَّهُ الْأَزَارِقَةَ لَعَنَ اللَّهُ الْأَزَارِقَةَ حَدَّثَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُمْ كِلَابُ النَّارِ قَالَ قُلْتُ الْأَزَارِقَةُ وَحْدَهُمْ أَمْ الْخَوَارِجُ كُلُّهَا قَالَ بَلَى الْخَوَارِجُ كُلُّهَا قَالَ قُلْتُ فَإِنَّ السُّلْطَانَ يَظْلِمُ النَّاسَ وَيَفْعَلُ بِهِمْ قَالَ فَتَنَاوَلَ يَدِي فَغَمَزَهَا بِيَدِهِ غَمْزَةً شَدِيدَةً ثُمَّ قَالَ وَيْحَكَ يَا ابْنَ جُمْهَانَ عَلَيْكَ بِالسَّوَادِ الْأَعْظَمِ عَلَيْكَ بِالسَّوَادِ الْأَعْظَمِ إِنْ كَانَ السُّلْطَانُ يَسْمَعُ مِنْكَ فَأْتِهِ فِي بَيْتِهِ فَأَخْبِرْهُ بِمَا تَعْلَمُ فَإِنْ قَبِلَ مِنْكَ وَإِلَّا فَدَعْهُ فَإِنَّكَ لَسْتَ بِأَعْلَمَ مِنْهُ

Daripada Sa’id B. Jumhan, beliau berkata, “Aku menemui ‘Abdullah B. Abi Aufa, ketika itu beliau tidak dapat melihat (buta). Kemudian aku mengucapkan salam kepadanya.

Beliau bertanya, “Siapakah engkau?” Aku menjawab, “Aku adalah Sa’id B. Jumhan.”

Beliau bertanya lagi, “Apakah yang dilakukan oleh ayahmu?” Aku menjawab, “Beliau telah dibunuh oleh (kaum) al-Azariqah.” Beliau pun berkata, “Semoga Allah melaknat kelompok al-Azariqah. Semoga Allah melaknat kelompok al-Azariqah. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah menceritakan kepada kami, bahawa mereka adalah anjing-anjing neraka.”

Aku bertanya, “Adakah hanya kelompok al-Azariqah sahaja, atau merujuk kepada semua kaum Khawarij?” Beliau menjawab, “Ya, benar. Semua kaum Khawarij.”

Aku berkata, “Sesungguhnya para penguasa sedang menzalimi rakyat dan berbuat tidak adil kepada mereka.” Akhirnya Abdullah bin Abi Aufa memegang tanganku dan menggenggamnya dengan sangat erat, lalu beliau berkata, “Duhai celaka kamu wahai Ibnu Jumhan. Hendaklah kamu sentiasa bersama as-Sawadul A’dzam, hendaklah kamu sentiasa bersama as-Sawadul A’zham. Sekiranya engkau mahu penguasa tersebut mendengar nasihat kamu, maka datangilah rumahnya dan beritahulah kepadanya apa-apa yang kamu ketahui sehingga ia menerimanya. Jika tidak, maka tinggalkanlah, kerana kamu tidak lebih tahu daripada dia.” (Hadis Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, 32/157, no. 19415. Lihat tahqiq Syu’aib al-Arnauth. Majmu’ az-Zawa’id, 5/414, no. 9163. Al-Haitsami berkata, “Diriwayatkan oleh Ahmad dan ath-Thabrani, dan para perawi Ahmad adalah perawi tsiqah.” Dinilai hasan oleh al-Albani, Dzilal al-Jannah, 2/143, no. 905 dan Abdus Salam Barjas dalam Mu’ammalatul Hukkam)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhir (Kiamat), hendaklah ia berkata yang baik-baik atau hendaklah ia diam.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 20/116, no. 5994)

Umar al-Bakkali pernah menyatakan:

إذا كانت عليكم أمراء يأمرونكم بالصلاة والزكاة، حلت لكم الصلاة خلفهم، وحرم عليكم سبهم

“Apabila kamu dipimpin oleh pemimpin yang memerintahkan kamu untuk solat dan mengeluarkan zakat, maka halal bagi kamu solat di belakang mereka, dan diharamkan ke atas kamu mencaci-maki mereka.”

Syaikh ‘Abdus Salam B. Barjas menyatakan tentang riwayat ini, “Menurut al-Hafiz dalam al-Ishabah, sanadnya sahih.” (Rujuk: Mu’ammalatul Hukkam fi Dhaw al-Kitab wa as-Sunnah)

Imam al-Bukhari rahimahullah meriwayatkan:

عون السهمى اتيت ابا امامة فقال لا تسبوا الحجاج فانه عليك امير وليس على بامير

Daripada as-Sahmi katanya, “Aku mendatangi Aba Amamah, lalu beliau berkata:

“Janganlah kamu mencela (mengutuk dan menghina) al-Hajjaj, kerana beliau adalah penguasa bagi kamu dan bukan penguasa bagiku.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari, at-Tarikh al-Kabir, 7/18, no. 83 – Maktabah Syamilah)

Abu Umamah tinggal di Syam, manakala as-Sahmi tinggal di Iraq yang mana pemimpin di Iraq ketika itu adalah al-Hajjaj B. Yusuf ats-Tsaqafi, gabernor kepada ‘Abdul Malik B. Marwan. Telah sedia maklum bahawa al-Hajjaj B. Yusuf ats-Tsaqafi ini adalah seorang pemimpin yang zalim, bengis, dan fasiq.

Syaikh ‘Abdul Malik Ramadhani al-Jaza’iri hafizahullah menegaskan:

وعلى كل حال فإن مجرَّد التحريض على السلطان المسلم ـ وإن كان فاسقا ـ صنعة الخوارج، قال ابن حجر في وصف بعض أنواع الخوارج: “والقَعَدية الذين يُزَيِّنون الخروجَ على الأئمة ولا يباشِرون ذلك”، وقال عبد الله بن محمد الضعيف: “قَعَدُ الخوارج هم أخبث الخوارج

“Apapun, walau hanya sekadar melakukan provokasi (menebar kebencian) terhadap pemerintah umat Islam walaupun pemerintah tersebut fasiq, ia telah layak dilabel khawarij. Ketika menjelaskan berkaitan beberapa pecahan kelompok khawarij, Ibnu Hajar berkata, “Di antaranya adalah al-Qa’adiyah, iaitu kelompok yang membuat provokasi (menebar kebencian) untuk keluar dari ketaatan terhadap pemerintah sedangkan mereka sendiri tidak terlibat secara langsung dalam pemberontakan tersebut.” ‘Abdullah B. Muhammad adh-Dhaif berkata, “Kelompok al-Qa’adiyah ini merupakan pecahan kelompok khawarij yang paling jijik.” (Madarikun Nadzar fii as-Siyasah, m/s. 266)

Sebab itulah antaranya Imam asy-Syaukani rahimahullah (Wafat: 1250H) menegaskan bahawa mereka yang menyebarkan kebencian terhadap para pemerintah wajib diambil tindakan supaya dia meninggalkan perbuatannya tersebut. Sekiranya dia berdegil, maka dia boleh dihukum penjara atau yang seumpamanya. Ini adalah sebagaimana kata beliau berikut:

ويؤدب من يثبط عنه” فالواجب دفعه عن هذا التثبيط فإن كف وإلا كان مستحقا لتغليظ العقوبة والحيلولة بينه وبين من صار يسعى لديه بالتثبيط بحبس أو غيره لأنه مرتكب لمحرم عظيم وساع في إثارة فتنة تراق بسببها الدماء وتهتك عندها الحرم وفي هذا التثبيط نزع ليده من طاعة الإمام

“Orang yang melakukan provokasi dan kekacauan (membakar emosi rakyat) untuk membenci pemerintah, mereka wajib diberi hukuman, maka yang diwajibkan adalah menghentikan perbuatannya (agar tidak timbul kekacauan). Jika mereka tidak juga berhenti dari melakukan kekacauan (provokasi tersebut), maka mereka berhak mendapat hukuman yang berat dan dipisahkan daripada orang-orang yang mereka provokasikan, sama ada dengan cara dipenjara atau selainnya. Ini adalah kerana mereka telah melakukan suatu perkara yang sangat-sangat diharamkan dan dalam masa yang sama telah berusaha menebar fitnah yang berpotensi mengakibatkan pertumpahan darah serta mencemarkan kehormatan yang menodai harga diri. Provokasi seperti inilah yang menyebabkan seseorang keluar dari ketaatan terhadap pemerintah.” (asy-Syaukani, as-Sailul Jarrar, 1/942 – Maktabah Syamilah)

Ini kerana perbuatan mencela dan dan melaungkan kebencian terhadap pemerintah ini mengandungi larangan yang berat dan akibat yang buruk. Ia termasuk salah satu ciri kebid’ahan khawarij. Bahkan tidak sedikit para pemerintah yang terbunuh akibat dari perbuatan provokasi dan kritikan secara terbuka yang kemudiannya melahirkan bibit pemberontakan. Di antaranya adalah dari kalangan khulafa’ur Rasyidin sendiri seperti khalifah ‘Utsman radhiyallahu ‘anhu. Di mana sebab utama terbunuhnya ‘Utsman radhiyallahu ‘anhu adalah apabila gabernornya mula dicela. Secara automatik, ia memberi kesan kepada beliau sebagai orang yang bertanggungjawab melantik mereka. Fitnah-fitnah kebencian terhadap ‘Utsman juga turut disebarkan sehingga keadaan menjadi kacau-bilau. Akhirnya ‘Utsman pun dibunuh.

Dari semua ini, seharusnya kita sedar dan tidak menyia-nyiakan masa yang ada dengan menyibukkan diri menentang pemerintah. Sebaliknya hendaklah kita melazimi ilmu yang benar demi memahami sebuah manhaj yang murni dan haq iaitu ahlus sunnah wal-jama’ah yang berdiri di atas nash-nash al-Qur’an, al-hadis, dan kefahaman salafus soleh.

Wallahu a’lam…

1 – Memahami Konsep Asas Negara dan Pemimpin Umat Islam.

2 – Bagaimana Ahlus Sunnah Mentaati Pemerintah.

3 – Bagaimana Ahlus Sunnah wal-Jama’ah Menasihati Para Pemimpin.

4 – Demonstrasi Bukan Ajaran Islam.

5 – Amankah Demonstrasi Di Bumi Mesir.

6 – Malapetaka Syi’ah Dalam Demonstrasi BERSIH 2.0.

7 – Mencela Dan Memusuhi Pemerintah Adalah Mazhab

8 – Perpaduan Itu Bersama Pemerintah.

Tamat….

Sumber: Mencela dan Memusuhi Pemerintah Adalah Mazhab Khawarij!


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>