Kezaliman Besar
ALLAH Ar-Rahman wa Ar-Rahim Maha Pengampun dan sangat sukakan hamba-Nya yang bertaubat nasuha dan memohon keampunan daripada-Nya.
Ertinya, Allah SWT boleh berkompromi dengan hamba-hamba-Nya yang melakukan dosa seandainya mereka bertaubat.
Cuma satu dosa yang Allah tidak boleh berkompromi dan tidak akan ada Ar-Rahman wa Ar-Rahim-Nya iaitu dosa syirik, dosa menyekutukan-Nya.
Firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya syirik itu adalah kezaliman yang besar. (Luqman: 13)
Rasulullah SAW ditanya tentang dosa yang paling besar.” Baginda bersabda yang bermaksud: Kamu menjadikan sekutu bagi Allah, pada hal Dia telah menciptakanmu.”
Ada dua kategori syirik, iaitu syirik akbar (syirik besar) yang boleh menyebabkan bukan sahaja pelakunya terkeluar daripada Islam tetapi juga Allah tidak akan mengampuninya jika dipohon keampunan sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan dia Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. (an-Nisa’: 48)
Sama ada syirik besar mahupun syirik kecil, adalah lebih baik kita menghindarinya. Syirik besar, pelakunya adalah murtad di dunia dan kekal dalam neraka di akhirat.
Syirik jenis ini juga membuatkan segala amal pelakunya menjadi sia-sia dan tidak diterima-Nya. Taubat pelakunya juga tidak diterima oleh Allah.
Manakala syirik kecil pula, pelakunya tidak murtad di dunia dan tidak akan kekal di akhirat nanti, akan dinerakakan tetapi akan dibebaskan selepas tempoh hukuman tamat.
Pelaku syirik kecil hanya membuat sia-sia amal perbuatan yang bercampur olehnya sahaja dan akan diampuni jika bertaubat nasuha.
Apa pun adalah wajar syirik kecil dihindari daripada dilakukan kerana ia boleh membawa kepada perlakuan syirik besar. Hayati saranan Rasulullah SAW supaya dijauhi syirik melalui sabda baginda yang bermaksud: “Wahai manusia, jauhilah syirik, ia sesungguhnya dia lebih samar daripada rayapan semut.” Lalu ada yang bertanya bagaimana cara kita menghindarinya sedangkan ia lebih samar daripada rayapan semut wahai Rasulullah? Baginda menjawab: “Ucapkanlah, Ya Allah sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada mempersekutukan-Mu atas apa yang kami tidak ketahui.” (riwayat Imam Ahmad)
Empat Syirik Sebagai Dosa Besar
1) Syirik doa dan permohonan – menilik nasib, menurun nombor ekor, percaya ramalan, percaya syurga dan neraka ditentukan oleh selain Allah
2) Syirik kecintaan, iaitu mencintai sesuatu seperti mencintai Allah – taksub kepada individu atau perkara melebihi cintanya kepada Allah
3) Syirik niat, keinginan dan kehendak iaitu melakukan kebajikan untuk selain daripada Allah – melakukan sesuatu perkara dengan tujuan menunjuk-nunjuk dengan harapan menjadi perhatian atau melakukan amal jariah serta sedekah bukan niat kerana Allah Taala
4) Syirik ketaatan iaitu mentaati ulama dalam mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah dan menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah – mempercayai serta patuh kepada fatwa-fatwa sesat yang menyimpang dari Islam
Dua Kategori Syirik Kecil
1) Nyata: Samaada berkaitan dengan seperti bersumpah dengan selain nama Allah, ucapan Masya Allah wa syikta = apa yang Allah dan engkau kehendaki, ucapan seandainya bukan kerana Allah dan kamu atau berkaitan dengan perbuatan seperti memakai gelang benang sebagai tangkal atau azimat untuk selamatkan diri atau tathayyar iaitu merasa sial kerana burung, lafaz atau tempat-tempat tertentu.
2) Tersembunyi: Syirik dalam niat, maksud dan keinginan seperti riak dan sum’ah













