«

»

Oct 15

Intipati Belanjawan 2011


Intipati-Intipati Belanjawan 2011

KUALA LUMPUR: Berikut ialah intipati Bajet 2011 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat, hari ini:

* Pembinaan projek pembangunan bercampur termasuk kediaman mampu milik bernilai RM10 bilion di Sungai Buloh yang dijangka siap pada 2025.

* Pembinaan projek bersepadu “Warisan Merdeka” dengan menara 100 tingkat tertinggi di Malaysia bernilai RM5 bilion yang dijangka siap pada 2015.

* Pembinaan projek bersepadu “Warisan Merdeka” dengan menara 100 tingkat tertinggi di Malaysia bernilai RM5 bilion yang dijangka siap pada 2015.

* Pembangunan Zon Akuakultur Bersepadu di Pitas, Sungai Telaga dan Sungai Padas di Sabah serta di Batang Ai dan Tanjung Manis di Sarawak dengan peruntukan RM252 juta.

* Peruntukan RM135 juta bagi persediaan prasarana asas menggalakkan petani menceburi bidang bernilai tinggi seperti industri sarang burung walit.

* Melanjutkan galakan potongan cukai pendapatan bagi pelabur dan pengecualian cukai pendapatan bagi syarikat dalam aktiviti pengeluaran bahan makanan sehingga 2015.

* RM85 juta untuk membina kemudahan infrastruktur bagi membolehkan hotel dan pusat peranginan di kawasan pedalaman yang berpotensi menarik pelancong.

* RM50 juta bagi membina beberapa laluan pejalan kaki berbumbung di kawasan lingkaran KLCC-Bukit Bintang.

* Pembangunan pusat peranginan bersepadu eco-nature pertama di dunia bernilai RM3 bilion oleh Nexus Karambunai di Sabah bermula tahun depan.

* Pemansuhan duti import ke atas 300 barangan kegemaran pelancong dan rakyat tempatan pada kadar lima peratus sehingga 30 peratus bagi menjadikan Malaysia destinasi utama membeli-belah di Asia.

* RM119 juta untuk membangunkan penciptaan kandungan tempatan, hosting kandungan tempatan dan pembukaan saluran baru untuk kandungan.

* Pengecualian cukai jualan ke atas semua jenis telefon bimbit.

* RM850 juta bagi menyediakan infrastruktur sokongan untuk mempercepatkan pembangunan koridor dan wilayah.

* RM411 juta untuk melonjak ekonomi ke arah sebuah negara berpendapatan tinggi, aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan sebagai landasan peningkatan aktiviti nilai ditambah dalam setiap bidang ekonomi.

* Penubuhan Unit Inovasi Khas (UNIK) di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan peruntukan RM71 juta bagi tahun depan untuk mengkomersilkan hasil penemuan R&D oleh universiti dan institusi penyelidikan.

* RM200 juta untuk perolehan hasil kreatif seperti filem, drama dan dokumentari keluaran tempatan yang berkualiti tinggi.

* Kadar cukai perkhidmatan dicadang dinaikkan satu peratus kepada enam peratus untuk menjamin kesejahteraan masa hadapan negara.

* Cukai perkhidmatan juga dicadang dikenakan ke atas perkhidmatan penyiaran TV berbayar.

* Meningkatkan penguatkuasaan dan pengauditan serta memperluaskan liputan ke atas semua pihak yang sepatutnya membayar cukai bagi memantapkan kutipan hasil.

* Menyusun semula dan memperkukuhkan aspek pendidikan dan latihan dengan belanja mengurus RM29.3 bilion untuk Kementerian Pelajaran, RM10.2 bilion (Kementerian Pengajian Tinggi) dan RM627 juta (Kementerian Sumber Manusia).

* Menubuhkan “Talent Corporation” di bawah Jabatan Perdana Menteri pada awal 2011 untuk membangunkan pangkalan data tenaga kerja berkepakaran serta menjalin kerjasama dengan jaringan bakat di seluruh dunia.

* RM212 bilion diperuntukkan bagi Bajet 2011 iaitu 2.8 peratus lebih tinggi berbanding peruntukan 2010.

* Daripada jumlah itu, RM162.8 bilion adalah bagi perbelanjaan mengurus dan RM49.2 bagi perbelanjaan pembangunan.

* Di bawah peruntukan mengurus, RM45.6 bilion adalah bagi emolumen dan RM28.2 bilion bagi perkhidmatan dan bekalan, RM86.4 billion diperuntukkan kepada Pemberian dan Kenakan Bayaran Tetap.

* Sejumlah RM1.4 bilion disediakan untuk pembelian aset dan RM1.2 bilion untuk perbelanjaan lain.

* Bagi peruntukan pembangunan, RM28.3 bilion disediakan bagi sektor ekonomi untuk menampung keperluan infrastruktur, perindustrian serta pertanian dan pembangunan luar bandar.

* Sejumlah RM15.5 bilion diperuntukkan bagi sektor sosial termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat.

* RM4.4 bilion diperuntukkan bagi pembangunan sektor keselamatan, RM955 juta bagi pentadbiran am dan RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.

* Dari segi kutipan hasil Kerajaan Persekutuan bagi 2011, jumlahnya dianggarkan meningkat 2.3 peratus kepada RM165.8 bilion berbanding RM162.1 bilion pada 2010.

* Defisit Kerajaan Persekutuan bagi 2011 dijangka terus berkurangan kepada 5.4 peratus daripada KDNK berbanding 5.6 peratus pada 2010.

* Untuk Kementerian Pelajaran, peruntukan pembangunan sebanyak RM6.4 billion disediakan bagi membina dan menaik taraf sekolah, asrama, kemudahan dan peralatan serta memartabatkan profesion guru.

* RM213 juta lagi dibajet sebagai ganjaran kepada sekolah berprestasi tinggi serta imbuhan kepada Pengetua atau Guru Besar dan Guru Cemerlang.

* Pendaftaran prasekolah akan ditingkatkan dengan sasaran 72 peratus menjelang akhir 2011 melalui penambahan 1,700 kelas, pemantapan kurikulum serta pelantikan 800 guru prasekolah lepasan ijazah.

* RM111 juta diperuntukkan bagi program PERMATA antaranya bagi pembinaan fasa 2 Kompleks Sekolah PERMATA Pintar, membina 32 Pusat Anak PERMATA Negara (PAPN) dan membiayai operasi 52 PAPN yang sudah siap.

* RM250 juta diperuntukkan bagi sekolah bantuan modal agama, sekolah bantuan modal jenis kebangsaan Cina, sekolah kebangsaan Tamil, sekolah bantuan modal mubaligh dan sekolah bantuan kerajaan seluruh negara.

* Kerajaan juga bersetuju membiayai bantuan per kapita untuk sekolah-sekolah agama rakyat rendah dan menengah dengan peruntukan RM95 juta sebagai mengiktiraf pendidikan Islam.

* Bagi menyediakan guru serta tenaga pengajar kompeten dan berkualiti yang dapat membimbing dan mendidik pelajar sekolah dengan sebaiknya, kerajaan menyediakan RM576 juta dalam bentuk biasiswa kepada mereka yang ingin melanjutkan pelajaran.

* Sejumlah RM213 juta diperuntukkan bagi mengangkat tinggi penguasaan Bahasa Malaysia, mempersadakan Bahasa Inggeris dan memperkemaskan kurikulum standard sekolah rendah.

* Kerajaan bersetuju untuk mengambil 375 guru penutur jati antaranya daripada United Kingdom dan Australia untuk meningkatkan lagi pengajaran Bahasa Inggeris.

* Peratusan staf akademik berkelulusan PhD ditambah kepada 75 peratus bagi universiti penyelidikan dan 60 peratus bagi IPTA lain dengan peruntukan RM20 juta.

* Skim Rumah Pertamaku dengan jaminan kerajaan ke atas bayaran pendahuluan 10 peratus bagi harga rumah di bawah RM220,000.

* Menyediakan Skim Pembiayaan Perumahan Kos Rendah untuk pekerja estet oleh BSN.

* Program Bantuan Rumah (12,000 unit) untuk golongan miskin dan miskin tegar dengan peruntukan RM300 juta.

* Mewujudkan “Portal 1Malaysia Pengguna Bijak”.

* Memperkenalkan Program Pengedaran Barang Perlu bagi menyeragamkan harga barangan.

* Memperkenalkan Program Transformasi Kedai Runcit, Bengkel Automotif dan Projek Pasar Komuniti.

* Melancarkan Dana Pencen Swasta.

* Melancarkan Skim Amanah Hartanah Bumiputera bernilai RM1 bilion dan patuh syariat.

* Menyediakan multivitamin untuk pelajar sekolah rendah seluruh negara.

* Meneruskan program subsidi bayaran bil elektrik bagi penggunaan bawah RM20 sebulan.

* Kadar tol di empat lebuh raya milik PLUS Expressway Bhd tidak akan dinaikkan bagi tempoh lima tahun akan datang bermula serta-merta.

* Mengkaji semula had minimum kebankrapan yang pada masa ini berjumlah RM30,000.

* Permohonan PR boleh dilakukan selepas lima tahun.

* Menyediakan empat bas sebagai Klinik Bergerak.

* Merangka Model Baru Pembangunan Orang Asli dan Pribumi.

* Memperkukuh JHEOA dengan mentransformasi kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli.


Gaji pokok minimum pengawal keselamatan naik sehingga RM700 sebulan

KUALA LUMPUR: Gaji pokok minimum pengawal keselamatan dinaikkan kepada RM500 hingga RM700 sebulan mengikut kawasan mulai Januari 2011, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2011.

Cuti bersalin sehingga 90 hari untuk kakitangan awam wanita

KUALA LUMPUR: Penjawat awam wanita diberi pilihan tentukan sendiri tempoh cuti bersalin bergaji penuh tidak melebihi 90 hari.

Perkara ini diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat.

PTK diganti sistem penilaian baru Jun tahun depan

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju memansuhkan sistem Penilaian Takap Kecekapan (PTK) dan diganti dengan sistem penilaian lebih sesuai dan diterima baik penjawat awam menjelang Jun tahun depan, kata Datuk Seri Najib Razak.

Berucap membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat, Perdana Menteri berkata ia adalah usaha berterusan kerajaan bagi menyediakan kerangka penilaian yang lebih bertanggungjawab, relevan dan menyeluruh serta mengambil kira maklum balas penjawat awam.

Kakitangan Gred 54 ke bawah, pesara terima bantuan khas RM500

KUALA LUMPUR: Kerajaan setuju memberi Bantuan Kewangan Khas RM500 kepada kakitangan awam Gred 54 ke bawah, termasuk petugas kontrak dan pesara yang dibayar Disember ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Majlis Konsultasi Gaji Negara ditubuh untuk tetapkan upah pekerja

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan penubuhan Majlis Konsultasi Gaji Negara untuk menjadi platform utama dalam penetapan upah golongan pekerja di negara ini.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, majlis berkenaan akan diwakili oleh majikan, kesatuan pekerja, kumpulan pekerja tanpa persatuan, agensi kerajaan, akademia, badan bukan kerajaan (NGO) dan individu.

“Selaras dengan peningkatan produktiviti, golongan pekerja seharusnya mendapat upah dan ganjaran yang lebih tinggi untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya ketika membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Najib berkata, kadar dan mekanisme penetapan gaji minimum akan ditentukan oleh majlis berkenaan.

Beliau berkata, pada masa ini, gaji pokok permulaan posmen telah dinaikkan kepada RM710 sebulan berbanding RM610 sebulan pada 1 Julai lalu dan dengan kenaikan itu, upah keseluruhan posmen meningkat daripada RM1,035 sebulan kepada RM1,285 termasuk elaun tetap.

Bagi pengawal keselamatan pula, beliau berkata kerajaan akan menguatkuasa gaji pokok minimum kepada RM500 hingga RM700 sebulan mengikut kawasan berbanding RM300 dan RM400 pada masa ini.
“Dengan kenaikan ini, pendapatan keseluruhan pengawal keselamatan termasuk elaun adalah melebihi RM1,000 sebulan. Kenaikan ini berkuatkuasa mulai Januari tahun depan,” katanya.

Selain itu, Najib berkata kerajaan akan meneruskan langkah pengurangan bilangan pekerja asing dengan menaikkan levi secara berperingkat mengikut sektor dan pada masa sama, majikan akan diwajibkan memperoleh insurans kesihatan bagi pengambilan pekerja asing mereka.

Najib berkata, kerajaan juga akan mewujudkan Program Latihan 1Malaysia yang akan dilaksanakan mulai Januari tahun depan dengan peruntukan sebanyak RM500 juta.

Beliau berkata, program latihan itu mempunyai tiga komponen iaitu sebanyak RM200 juta untuk menjalankan latihan sambilan di sebelah malam dan hujung minggu di pusat latihan terpilih di seluruh negara.

“Ia akan dikendalikan oleh Kolej Komuniti, Institut Kemahiran Belia Negara, Pusat Giat Mara dan Institut Latihan Perindustrian dengan kemudahan sedia ada,” katanya.

Najib berkata, antara kursus yang ditawarkan pada sebelah malam ialah Bahasa Melayu, Mandarin, Tamil, Inggeris, Arab dan kelas muzik manakala di hujung minggu, kursus berbentuk kemahiran dan teknikal akan dilaksanakan termasuk memasak, menjahit, spa, mekanik, elektrik dan kimpalan.

Katanya, program berkenaan juga mencakupi peruntukan RM200 juta daripada Tabung Pembangunan Sumber Manusia yang membolehkan syarikat membiayai program latihan khusus bagi pekerja mereka.

Selain itu, katanya, Kementerian Sumber Manusia juga menyediakan RM100 juta untuk membolehkan pekerja meningkatkan kemahiran dalam pelbagai bidang teknikal.

Elaun pemimpin masyarakat dinaikkan kepada RM800 sebulan

KUALA LUMPUR: Elaun bulanan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Persekutuan (JKKP), Tok Batin, Pengerusi JKKK Orang Asli dan Pengerusi Kampung Baru akan dinaikkan kepada RM800 sebulan berbanding RM450 pada masa ini, bagi menghargai peranan mereka sebagai pemimpin masyarakat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata bagi memastikan elaun itu dinikmati oleh semua Ketua Kampung, ia akan turut diberi kepada Pengerusi Jawatankuasa Kampung Baru Rangkaian dan Pengerusi Jawatankuasa Kampung Bagan.

KUALA LUMPUR: Elaun bulanan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Persekutuan (JKKP), Tok Batin, Pengerusi JKKK Orang Asli dan Pengerusi Kampung Baru akan dinaikkan kepada RM800 sebulan berbanding RM450 pada masa ini, bagi menghargai peranan mereka sebagai pemimpin masyarakat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata bagi memastikan elaun itu dinikmati oleh semua Ketua Kampung, ia akan turut diberi kepada Pengerusi Jawatankuasa Kampung Baru Rangkaian dan Pengerusi Jawatankuasa Kampung Bagan.
“Kerajaan akan menaikkan elaun kehadiran mesyuarat kepada semua Ahli Jawatankuasa daripada RM30 kepada RM50,” katanya ketika membentangkan Bajet 2011 di Parlimen, di sini hari ini.

Najib berkata elaun bulanan Imam akan dinaikkan daripada RM450 kepada RM750 sebulan, manakala imbuhan bulanan guru Kemahiran Asas Fardhu Ain (KAFA) dinaikkan kepada RM800 sebulan berbanding RM500 pada masa ini.

Ia akan berkuatkuasa Januari tahun depan, katanya.

Najib berkata sejumlah RM100 juta diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai program untuk meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat Orang Asli dan Pribumi.

Beliau berkata ia termasuk menyelesaikan isu pegangan hak milik tanah dan persempadanan penempatan Orang Asli serta membangunkan Model Baru Pembangunan Orang Asli.
“Selaras dengan ini, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli akan disusun semula dan diperkukuhkan dengan memberi nafas baru sebagai Jabatan Kemajuan Orang Asli,” katanya.

- BERNAMA

eXception tak mahu mengulas panjang-lebar intipati Belanjawan 2011 ini. Cuma agak kecewa kerana tiada pemberian bonus yang diharap-harapkan kepada kakitangan awam. Apapun pemberian bantuan kewangan sebanyak RM 1000 (RM 500 sebelum Hari Raya dan RM 500 sebelum sekolah dibuka) amat eXception hargai. Tak taulah apa pendapat kakitangan awam yang lain.

Pemberian cuti bersalin kepada kakitangan awam sebanyak 90 hari juga amat dialu-alukan.

Pemansuhan PTK dan menggantikannya dengan penilaian baru juga eXception amat alu-alukan, kerana penilaian sedia ada banyak yang tidak berkait dengan tugas yang dilakukan kakitangan awam.

Pembekuan kenaikan kadar tol PLUS selama 5 tahun juga disambut baik oleh semua rakyat Malaysia.

Kenaikan cukai perkhidmatan sebanyak 6% juga wajar kerana cukai ini sudah lama tidak dinaikkan. Diharap dengan kenaikan cukai ini perkhidmatan yang disediakan bertambah baik.

Pemberian pencen kepada kakitangan swasta diharap dapat menggembirakan mereka.

Bahagian yang eXception highlight dengan warna kuning sangat dialu-alukan kecuali membina menara baru. Masih tidak cukupkah dua menara sedia ada Datuk Seri? Sebaiknya wang yang dilaburkan untuk pembinaan menara ini disalurkan kepada perkara yang lebih bermanfaat kepada rakyat. eXception tidak nampak kewajaran dan manfaat menara ini kepada seluruh rakyat.

Itu sahaja ulasan dari eXception… Ulasan kedua akan hadir esok pagi. eXception perlu tunggu laporan menyeluruh di dalam akhbar arus perdana…

P/S: eXception tak suka guna perkataan ‘BAJET’ yang dicedok dari perkataan Inggeris (BUDGET), tetapi lebih suka menggunakan perkataan BELANJAWAN…


1 comment

  1. Ichwana

    very interesting information….

    please read : economic jurnal of andalas university

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>