Tanda Putera – 13 September 2012

Filem yang dinanti-nantikan eXception… Selepas 1957 Hati Malaya, sebuah lagi filem berunsur kenegaraan hasil buah tangan sutradara Suhaimi Baba bakal menemui rakyat Malaysia pada 13 September 2012 nanti…
Filem ini merupakan hasil usahasama antara FINAS dan Pesona Pictures. Ianya memaparkan kisah hidup Allahyarham Tun Abdul Razak dan Allahyarham Tun Dr Ismail serta kisah semasa negara kita melalui darurat 13 Mei 1969.
Berikut adalah sinopsis filemnya…
Sinopsis
“Filem ini mengisahkan persahabatan akrab antara Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak dan Timbalannya, Tun Dr. Ismail yang terpaksa berahsia dan mengenepikan masalah kesihatan masing-masing bagi memulihkan keadaan negara ekoran daripada peristiwa hitam 13 Mei 1969.
Tun Razak terpaksa menyimpan rahsia tentang penyakit leukaemia yang dihadapinya kerana tidak mahu keluarganya tertekan dan bimbangkan keselamatan negara. Mereka berdua berkongsi doctor. Bilik bacaan di rumah Tun Dr. Ismail menjadi klinik rahsia bagi rawatan mereka oleh Dr. Macpherson, tanpa pengetahuan sesiapa termasuk kaum keluarga Tun Dr. Ismail sendiri.
Mereka memiliki aura yang kuat. Kecekalan dan keazaman mereka telah menangkap imaginasi pelajar seperti Zarah, tenaga pengajar Kara, dan anak muda Zaman. Razak dan Ismail mencorakkan warna hidup warga muda seperti pelajar dan tenaga pengajar di insitusi pendidikan tinggi ketika itu serta mereka yang bertugas di pejabat.
Apabila mengetahui penyakitnya akan membawa maut dalam masa dua tahun, Tun Razak bersyukur yang rakan baiknya Tun Dr. Ismail, orang kepercayaannya dan seorang yang terkenal jujur dan berintegriti akan dapat meneruskan rancangan mereka bagi pembangunan negara. Razak juga yakin Ismail akan mengotakan janji untuk menjaga keluarganya nanti. Tetapi apabila terjadi perkara yang tidak disang-sangka, Tun Razak mendapat kejutan besar yang hampir memudaratkan lagi kesihatannya.
Dia mula mengejar masa untuk melaksanakan pelbagai perancangan bagi menjamin kestabilan serta masa depan negara. Dia terpaksa menhadapi pelbagai ancaman daripada pihak komunis yang mensasarkan pembunuhan pemimpin tinggi polis. Bermula dengan pembunuhan Ketua Polis Negara diikuti pembunuhan Ketua Polis Perak, keadaan semakin meruncing.
Razak mengambil langkah berani dengan membuni hubungan diplomatic dengan Republik China bagi melemahkan pengaruh komunis tempatan walau dia dikecam kuasa Barat dan negara sekutu. Dalam waktu yang singkat, Razak membawa rakyat miskin seperti keluarga Zarah dan Zaman, keluar dari perangkap kemiskinan tegar. Razak telah menanam semangat baru dalam diri Zaman, Zarah dan rakan-rakan mereka.
Namun perjuangan Razak berakhir di sebuah klinik di London ketika rakan-rakannya di Malaysia berusaha memenuhi permintaannya untuk berjumpa anak bongsunya Nazir buat kali terakhir dan rakyat mengejar masa untuk menyediakan klinik udara bagi membawanya pulang ke tanah air tercinta.”















